Saya mengaku saya memang tidak boleh ubah diri saya jadi lemah-lembut seperti kakak, adik dan umi. Mereka memang begitu ukurannya, dan saya memang begini ukurannya. Namun saya telah mencuba sedaya upaya untuk memiliki sifat-sifat baik yang perlu dimiliki oleh wanita muslimah. Bukan untuk memiliki ciri-ciri seperti kakak, adik dan umi, tetapi membentuk ciri-ciri saya sendiri yang Allah pendamkan dalam jiwa saya berdasarkan yang telah diajar oleh Baginda Rasulullah saw..
Secara jujurnya saya tidak mampu untuk memiliki sifat lemah-lembut seperti kakak, adik dan umi. Hati saya bukan seperti hati mereka yang berjiwa lemah lembut. Mungkin situasi yang kami lalui berbeza, maka sifat yang membentuk peribadi kami berbeza.
Saya terdidik dengan kritikan dan hati saya sedikit sebanyak telah terguris walaupun pada dasarnya tidak pernah kelihatan. Namun ia telah membentuk peribadi yang lebih keras dan tegas supaya saya mampu mengharunginya.
Saya telah berusaha untuk menjadi yang terbaik, namun masih ada lagi kata-kata yang terkeluar daripada mulut-mulut yang tidak sedar dengan pemberian Allah yang mampu mengguris perasaan saya.
Masih ramai lagi orang yang selalu membanding-bandingkan saya dengan kakak, adik dan umi dengan kecantikan luaran. Malah mereka selalu persoalkan kenapa paras rupa saya tidak cantik tanpa rasa bersalah. Saya betul-betul terguris dengan kata-kata seperti itu walaupun saya tidak pernah menzahirkannya. Hanyalah Allah yang memahami perasaan saya.
Walaupun hati saya banyak terguris dengan kata-kata mereka, namun saya bertekad dan ingin membuktikan bahawa kecantikan bukan penentu kebahagiaan, yang penting adalah dengan ilmu yang saya miliki dan cara saya membawa diri.
Saya pun menanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh kerana saya selalu dengar, tidak guna cantik andai tidak berilmu. Saya ingin menjadi seorang yang berilmu.
Kekurangan saya, saya jadikan perangsang untuk berjaya. Saya berjaya kerana saya berusaha, bukan kerana paras rupa saya. Biarlah saya menang kerana memiliki ilmu bukan kerana memiliki kecantikan. Setiap orang memiliki kelebihan masing-masing, dan kelebihan tersebut perlu dicari dalam diri sendiri.
Baru kini saya sedar, walaupun Allah tidak kurniakan saya kelebihan dari segi kecantikan, namun Allah telah memberi saya banyak kelebihan yang tidak semua orang miliki.
Saya memiliki kemahiran melukis dengan baik, boleh berfikiran ke depan, serta Allah juga mengurniakan saya pemikiran yang kreatif untuk mereka sesuatu yang baru.
Saya berjaya buktikan kecantikan itu bersifat subjektif. Cantik tidak semestinya dinilai dengan kecantikan paras rupa, namun kecantikan juga boleh diukur dengan akhlak yang baik, ilmu yang berguna, serta cara kita membawa diri. Apa yang penting, kenali kecantikan semulajadi diri sendiri dan lakukan yang terbaik untuk menjaganya. Jika mengharapkan sesuatu yang Allah tidak ciptakan untuk jadi milik kita, kita tidak akan mengenali erti bersyukur.
Alhamdulillah. Banyak pengajarannya daripada kekurangan saya ni.
Paling penting, kerana saya tak cantik, saya sentiasa mencuba untuk menjadi cantik pada pandanganNya. Cantik pada pandangan manusia bukanlah apa-apa.
Cantik di dunia, tidak membawa sebarang kebahagiaan di akhirat kelak. Cantiklah untuk DIA, maka segalanya akan menjadi CANTIK.
edited from iluvislam.com

No comments:
Post a Comment